Melastik Ke Hatimu - Nantikan drama adaptasi novel 'Melastik Ke Hatimu' karya Aqma Dee di slot Lestary TV3. Drama terbaru bersiri 13 episod ini bakal menggantikan drama hadiah dari Tuhan.

Menampilkan gandingan Andi Bernadee dan Janna Nick. Drama romantik komedi terbitan OrangeTree Production, diarahkan oleh Azmi Hata.

Bakal menemui penonton pada 21 Januari 2021, Setiap Rabu hingga Sabtu, 9 malam dan semestinya di tv3.

Pelakon Dan Watak Dalam Melastik Ke Hatimu

Antara barisan pelakon dan watak yang mereka pegang dalam drama ini adalah seperti berikut :-
  1. Janna Nick sebagai Haura Annisa
  2. Andi Bernadee sebagai Ziyyad
  3. Norman Hakim sebagai Jeffry
  4. Wani Kayrie sebagai Fatin 
  5. Puteri Sarah Liyana sebagai Faida


Drama terbaru slot LESTARY tv3

SINOPSIS MELASTIK KE HATIMU DI SLOT LESTARY TV3, LAKONAN JANNA NICK DAN ANDI BERNADEE

Melastik ke hatimu mengisahkan tentang Haura, seorang gadis kilang yang kononnya 'gangster', tapi hidupnya dikawal oleh ibunya yang mahukan menantu kaya. Haura bercinta dengan Naim tetapi hubungan mereka ditentang kerana Naim hanyalah seorang posmen.

Haura terpaksa akur apabila dijodohkan dengan Ziyyad, seorang tauke kilang di tempat dia dan kakaknya Faida bekerja. Ziyyad digelar 'kayu cengal' oleh pekerja kilang kerana sikapnya yang tak endahkan orang rupanya menyimpan perasaan pada Haura dalam diam. Mereka terikat dalam perkahwinan. Ziyyad cuba memikat hati Haura dan Haura pula mencari jalan supaya Ziyyad menceraikannya kerana cintanya hanya untuk Naim. Ziyyad disenangi oleh ayah Haura yang terkena serangan strok dan kebaikan Ziyyad akhirnya berjaya membuahkan rasa cinta di hati Haura untuk suami.

Sedang mereka melakar bahagia, musibah melanda Ziyyad. Keluarga Ziyyad diisytihar muflis dan terbongkar suatu rahsia yang selama ini tersimpan kemas. Keadaan itu menyebabkan emak Haura memaksa Ziyyad melepaskan Haura.

Drama terbaru slot LESTARY TV3 Januari 2021
Harga untuk novel Melastik Ke hatimu adalah 26 SM / 29 SS


SINOPSIS NOVEL MELASTIK KE HATIMU

Ziyyad merupakan pemilik kilang merangkap pengurus kilang dimana Haura Annisa bekerja. Haura berperwatakan sedikit kasar, hidup dikawal ketat oleh ibunya, Mak Limah yang mahukan Haura berkahwin dengan orang kaya. 

Kerana gula-gula getah, Ziyyad terjatuh hati sehingga dia nekad utk memperisterikan Haura walaupun terang-terangan dia tahu yang cinta Haura hanya untuk Naim. Namun kerana permintaan bapa yang sakit, Haura menerima Ziyyad menjadi suaminya walau banyak kali dia berusaha untuk mengagalkan perkahwinannya.

Baru cinta hendak berputik, Mak Limah mahu Ziyyad dan Haura bercerai. Mak Limah berusaha untuk memecahkan rumahtangga Ziyyad dan Haura disebabkan keadaan Ziyyad yang tidak punya apa-apa ketika itu. Mak Limah hanya pentingkan harta dari kebahagian hidup anaknya sendiri. Bagaimana pengakhirannya kisah mereka? Adakah Ziyyad dan Haura bahagia di akhirnya?

Cepat-cepat dia capai dompet dan telefon. Sebelum Ziyyad masuk, lebih baik dia segera beredar. Nasib baik dia ada selipar bulu-bulu, jadi bolehlah nak guna untuk sementara. Harap-harap orang tak pandang pelik pada aku nanti sebab pakai selipar yang diguna dalam rumah.

Nota ringkas yang mengatakan dia keluar dengan Naim sudah tertulis pada cermin menggunakan gincu.

"Curang-curang aku pun, aku minta izin okey tapi bukan depan-depanlah." Haura sengih tak bersalah.

Siap nota ditulis, dia apa lagi, terus panjat jendela. Masa tu dia dah gelengkan kepala. Kenapalah aku gedik sangat pakai skirt labuh hari ni? Kan dah susah nak panjat. Terpaksa selak kain sampai paras paha.

"Ini kalau tersilap langkah, boleh jatuh tersembam kat tanah ni."

Bila kedua-dua kaki sudah terjulur ke luar jendela, dia sudah bersedia untuk terjun. Belum sempat dia terjun, terasa hujung skirtnya tersepit pada engsel jendela. Cepat-cepat dia tarik namun ia seperti melekat di situ. Bila dalam keadaan kelam-kabut, semua benda jadi susah.

“Awak buat apa duduk atas jendela tu?”

Terkejut Haura dengan teguran yang tiba-tiba itu. Dia apa lagi, terus terterjunlah dari jendela dan soal hujung kainnya tersepit terus dia lupakan. Terkoyaklah skirt yang dia pakai. Bukan sikit, tapi terus terkoyak sampai ke paha. Malu dapat, sakit pun dapat. Nasib baik rumah papannya jenis rendah, kalau tinggi tadi boleh patah kaki dia.

Terkejut dia bila melihat isterinya boleh pula bertenggek atas jendela malam-malam begini. Dah rupa macam orang kena rasuk pun ada. Tak sangka pula teguran dia tadi mengejutkan wanita itu. Itulah, siapa suruh duduk situ. Yang kelakarnya siap tertonggeng lagi.

“Issh! Sakitlah!” Marah Haura sedikit perlahan sambil menyapu lengan yang terlekat pasir.

“Ini kalau mak awak tahu, mesti awak kena marah kaw-kawlah kan? Dahlah masih anak dara, bertenggek pula di jendela.”

Terbeliak mata Haura mendengarkannya. Terketap terus bibirnya.

“Ehh...awak nak buat apa tu?” Haura bersuara melihatkan Ziyyad juga mula bertenggek di jendela.

“Nak juga saya rasa macam mana perasaan keluar rumah melalui tingkap ni.” Ziyyad sengih dan terjun ke bawah melalui jendela.

Buk! Tapak kakinya menapak di sisi Haura yang masih terduduk. Dibantu tubuh isterinya untuk bangun namun cepat pula tangan wanita itu menepis.

“Dalam keadaan begini pun, masih lagi awak sombong.” Dia dah boleh agak dan yakin ke mana Haura ingin pergi. Hebat betul cinta Naim ni sampai aku sebagai suami pun dia tak hormat.

“Kalau tinggi, dah lama saya mati tadi! Main sergah aje!” Marah Haura. Tudung bawal yang dipakai terus dibuka. Serabut pula dia rasa.

“Yang awak bertenggek macam hantu atas jendela tu dah kenapa?” Jeling Ziyyad. Masih berpura-pura tidak tahu.

Dia cuba kawal perasaan sebaik mungkin walaupun dalam hatinya begitu sakit dengan perbuatan Haura. Nasib baik dia cepat tadi, kalau tak memang seronoklah Haura boleh keluar dengan Naim.

“Saya ambil anginlah,” bohong Haura. Malu betul dia rasa ketika ini. Harap-harap dia tak baca lagi apa yang aku tulis pada cermin tadi.

“Atas jendela? Dengan pakai tudung ekstra selipar berbulu ni sekali? Unik cara awak bersantai,” sindir Ziyyad. Tak perlulah nak menipu Haura, aku dah tahu tujuan kau tu.

Haura buat tidak endah. Dia cuba untuk memanjat kembali jendela biliknya dari luar. Alang-alang dah turun ikut situ, lebih baik dia naik semula. Tak kan nak melintas depan mak pula. Kan pelik pula orang tua tu nanti.

Nak tergelak Ziyyad dengan perlakuan isterinya. Bila wanita itu menjeling, terus dia palingkan muka ke arah lain. Kelakar betul bila melihat Haura memanjat jendela yang gayanya seperti pencuri. Lagi lucu bila skirt yang dipakai terbelah dan menampakkan paha yang putih gebu itu.

“Kaki Encik Ziyyad dah kotor kan? Sila guna pintu depan ataupun belakang.” Bila dah masuk semula ke dalam bilik, terus dia tutup pintu jendela. Buat tak kisah pada Riyyad yang mendongak pandang dirinya. Lekas-lekas tisu dicapai lalu apa yang tertulis pada cermin dilap sebelum Ziyyad kembali ke bilik.

Bila telinganya menangkap bunyi tombol pintu dipulas, terus dia berlari ke katil dan duduk di situ gaya seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.

“Meh saya sapukan ubat,” pelawa Ziyyad.

Sebelum masuk ke dalam bilik tadi, dia sempat meminta ubat luka dengan mentuanya tadi. Bila ditanya untuk apa, dia beritahu yang jari Haura tersepit pintu almari. Tak kan nak beritahu yang Haura terjun jendela pula.

“Tak payahlah Encik Ziyyad. Sikit saja ni.” Haura menolak. Tertelan air liur bila tiba-tiba lelaki itu duduk rapat dengannya. Aroma dari tubuh itu betul-betul mengasyikkan.

“Kalau tak disapu ubat, nanti lagi teruk.” Ziyyad tetap tarik tangan isterinya. Lengan wanita itu dilap dengan tuala basah terlebih dahulu sebelum disapu ubat.

“Aww...” Haura mengadu sakit.

“Memanglah pedih sikit, tapi insya-Allah tak sakit dah lepas ni.” Ziyyad sengih, jeling isterinya.

Kali ini Haura biarkan sahaja perlakuan suaminya itu. Sesekali matanya mengerling wajah kacak milik Ziyyad. Nampak keikhlasan di situ. Dia baik sangat pada aku, tapi apa yang aku dah buat pada dia?

BACA NOVEL MELASTIK KE HATIMU SECARA ONLINE

BAB 1~Melastik Ke Hatimu : https://www.wattpad.com/622069966-bab-1~melastik-ke-hatimu

BAB 2~ Melastik Ke HatiMu : https://www.wattpad.com/622440178-bab-2~-melastik-ke-hatimu

BAB 3~Melastik Ke HatiMu : https://www.wattpad.com/623091854-bab-3~melastik-ke-hatimu

BAB 4~ Melastik Ke HatiMu : https://www.wattpad.com/630991767-bab-4~-melastik-ke-hatimu

BAB 5~Melastik Ke Hatimu : https://www.wattpad.com/671384614-bab-5~melastik-ke-hatimu

BAB 6~ Melastik Ke Hatimu : https://www.wattpad.com/830087848-bab-6~-melastik-ke-hatimu

BAB 7~ Melastik Ke Hatimu : https://www.wattpad.com/856737090-bab-7~-melastik-ke-hatimu

BAB 8~ Melastik Ke Hatimu : https://www.wattpad.com/856747813-bab-8~-melastik-ke-hatimu

BAB 9~ Melastik ke hatimu : https://www.wattpad.com/858493986-bab-9~-melastik-ke-hatimu

BAB 10~ Melastik Ke Hatimu : https://www.wattpad.com/868485675-bab-10~-melastik-ke-hatimu

BAB 11~ Melastik Ke Hatimu : https://www.wattpad.com/876803158-bab-11~-melastik-ke-hatimu

BAB 12~ Melastik Ke Hatimu : https://www.wattpad.com/877363248-bab-12~-melastik-ke-hatimu

The rest nak tahu kesudahannya, kenalah layan drama sampai habis. Hehe. Tapi, daripada apa yang Fiza baca best on mereka-mereka yang dah baca novel tersebut, ramai yang bagi rate yang tinggi. Itu menunjukkan jalan ceritanya yang best. Tapi tak tau la bila  dah  diadaptasikan ke drama kan. Kenalah tunggu masa tayangannya nak tahu best ke tak. Betul tak?

#melastikkehatimu