Kisah Anak Muda menghidap Kanser dan Al-Quran

Assalamu'alaikum, hai... 
Kisah Anak muda menghidap kanser dan Al-Quran | Allahu Akhbar...

Putrajaya: Biarpun pernah diuji apabila disahkan menghidap kanser darah tahap empat, tidak sedikit pun menghalang hafiz muda, Muhammad Amin Muadzam, 18, dari Sarawak untuk meneruskan usahanya menghafaz kitab suci al-Quran.

Hafiz muda
Kredit Sumber : Harian Metro

Menurut Muhammad Amin, dia disahkan menghidap penyakit itu ketika hanya tinggal 10 juzuk lagi untuk bergelar hafiz, namun keadaan kesihatan diri menyebabkan harapannya terhenti seketika.

Bagaimanapun, hasil dorongan bapanya, Dr Muadzam Mohamad yang juga pakar radiografi di Hospital Umum Sarawak (HUS) menyebabkan dia tidak pernah mengalah, sebaliknya tetap meneruskan hafazan kerana yakin dengan mukjizat al-Quran itu mampu menjadi penawar penyakit dideritainya.

Anak sulung daripada enam beradik itu berkata, pada mulanya dia hanya batuk dan tidak lama selepas itu bahagian lehernya mula membengkak, seterusnya tidak lagi larat untuk berjalan.

“Apabila dibawa ke hospital, doktor memaklumkan saya menghidap kanser darah tahap empat dan ketika itu, saya putus asa untuk meneruskan kehidupan.

“Namun berkat sokongan serta nasihat ayah dan guru membuatkan saya yakin untuk menghadapi ujian ini dan tiada alasan untuk berhenti menghafal al-Quran kerana ia adalah syifa (penyembuh),” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Muhammad Amin mewakili Sarawak untuk kategori hafazan juzuk satu hingga 30 sempena Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 1429H/2018 yang diadakan di Kompleks Islam Putrajaya di sini, hingga Jumaat ini.

“Saya pegang nasihat dan kata-kata ayah. Setiap kali menanggung sakit akibat kemoterapi, saya mencari al-Quran dan istiqamah dalam meneruskan hafalan walaupun terbaring di atas katil hospital. Alhamdulillah, tidak rugi menghafal al- Quran apabila dua tahun lalu, pakar kanser mengesahkan saya pulih sepenuhnya daripada penyakit itu,” katanya.

Pelajar Madrasah Darul Ulum Islamiah, Kuching, Sarawak itu berkata, dia mengambil Syahadah iaitu selepas tamat khatam dengan menghafaz al-Quran (peringkat terakhir) tahun lalu.

Sementara itu, adik bongsu Muhammad Amin, Muhammad Adli, 12, juga mewakili Sarawak dan menjadi peserta termuda bagi kategori hafazan kali ini untuk juzuk satu hingga 20.

“Saya menghafal al-Quran sejak berusia tujuh tahun dan menghabiskan 30 juzuk tahun lalu serta empat bulan untuk Syahadah.  - Petikan dari artikel harian Metro berjudul 'Ujian Kanser' bertarikh 5/4/2018.

Pada Fiza, ia satu sikap yang begitu positif dalam menghadapi ujian dari Allah. Biarpun berperang dengan penyakit, adik tersebut mampu menghafaz kita suci Al-Quran. Moga ia menjadi inspirasi buat kita semua. Aamiin... 

#TlawahdanHafazanAlQuranperingkatkebangsaan2018



Kisah Anak Muda menghidap Kanser dan Al-Quran Kisah Anak Muda menghidap Kanser dan Al-Quran Reviewed by fiza linolie on April 05, 2018 Rating: 5

1 comment:

  1. masya ALLAH moga dimudhkan segala urusan adik ni dan diberikan kesembuhan

    ReplyDelete